Anak lelaki sulung Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menegaskan permohonan Keluarga Besar Nikmatillah supaya Maahad Darul Anuar diuruskan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dibuat tanpa mengikut saluran yang betul.

Sebagai pengerusi ahli lembaga dan pemegang amanah Maahad Darul Anuar, katanya, pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah agama terbabit kepada YIK.

"Kami pengambil pendekatan bahawa permohonan yang dibuat kepada YIK itu tidak mengikut saluran yang betul dan tepat.

"Pihak kami sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan YIK mengenai perkara ini demi kemaslahatan Maahad Darul Anuar umumnya, dan pelajar khususnya," katanya dalam satu surat jawapan balas kepada YIK.

Surat tersebut tersebar di media sosial hari ini selepas didedahkan oleh pegawai peribadi Nik Omar, Mohd Zaidi Ab Halim.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan YIK bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar - yang terletak di Pulau Melaka, Kota Bharu - yang kini diuruskan Nik Omar.

Ia susulan permohonan Keluarga Besar Nikmatillah iaitu sebuah organisasi melibatkan keluarga Nik Abdul Aziz dan mendakwa mereka adalah pemegang amanah bagi sekolah tersebut.

Pada 4 Oktober lalu YIK berkata, Keluarga Besar Nikmatillah ada membuat permohonan supaya pengurusan Maahad Darul Anuar diambil alih.

Permohonan tersebut dibuat melalui surat mereka kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada 24 Nov 2016 dan dirujuk kepada YIK.

Difahamkan isu pengambilalihan sekolah tersebut berbangkit selepas Nik Omar mengambil pendirian politik berbeza berbanding anggota keluarga.

Malah beliau turut menjadi calon Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk kerusi DUN Chempaka pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu dalam surat kepada YIK yang bertarikh 18 Okt lali, Nik Omar berkata, ahli lembaga pengarah adalah satu-satunya badan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan pentadbiran Maahad Darul Anuar.

"Kami tidak pernah dirujuk dan tidak pernah dipanggil bermesyuarat sehingga keputusan pihak tersebut diambil," katanya.