Bekas pegawai Najib nafi dana BR1M disalah guna untuk bayar IPIC
Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak menuduh pihak berkuasa sengaja membayangkan dana yang diperuntukkan untuk BR1M disalahguna untuk membayar hutang kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Bertentangan dengan laporan media beberapa hari ini, Isham Jalil berkata BR1M tidak disebut dalam pendakwaan terhadap Najib hari ini.
"Pendakwaan secara sengaja dibuat secara kabur dan maklumat bocor berkenaan BR1M dan akaun lain tiada dalam kertas pendakwaan dan tidak dinyatakan di mahkamah.
"Ia diberitahu oleh sumber tidak bernama kepada media sebagai permainan propaganda untuk memburukkan Najib," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hari ini didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM6.636 bilion dana kerajaan.
Beberapa hari ini kebanyakan organisasi media menerbitkan laporan yang memetik sumber yang mengaitkan siasatan terhadap Najib dan Irwan dengan penyelewengan dana yang asalnya untuk BR1M, selain dana-dana lain.
Menyangkal perkara itu, Isham yang merupakan bekas pegawai di Unit Perancang Ekonomi berkata semua bayaran kerajaan adalah daripada dana disatukan yang mungkin merangkumi lebihan dana daripada peruntukan lain yang belum digunakan.
"Ia tentang pengurusan aliran tunai dalam perkhidmatan awam. Tiada pihak atau individu yang layak mendapat BR1M tidak mendapatnya," katanya lagi.
Sementara itu, Isham berkata pendakwaan terhadap Najib seolah-olah membayangkan pembayaran terhadap IPIC tanpa kelulusan kabinet adalah satu kesalahan.
"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri banyak kali mengatakan (bekas menteri kewangan) Tun Daim Zainuddin tidak mendapatkan kelulusan kabinet ketika menandatangani persetujuan dengan Singapura pada 1990 untuk menukar tanah KTM di negara itu yang kini bernilai puluhan bilion.
"Adakah ia juga satu kesalahan yang perlu disiasat sekarang?" soalnya.

