Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gunakan kebebasan sebaiknya, pesan Kadir kepada media

Pengamal media perlu menggunakan sebaiknya kebebasan media yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekarang untuk menghasilkan laporan berita yang mampu meningkatkan tahap pemikiran yang kritis, kata Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata pengamal media perlu lebih ikhlas menghasilkan berita yang menguntungkan masyarakat meskipun ia tidak menarik mahupun sensasi.

"Media kini dilihat lebih terpengaruh dengan sensasi sehingga ia menjadi makanan dan hidangan dalam era media baru...Kita tidak boleh terikut-ikut dengan teknologi.

“Kita kena utamakan laporan yang menguntungkan masyarakat walaupun ia tidak menarik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup 'The International Communication Association (ICA) Regional Conference 2018' di Shah Alam hari ini.

Mengambil contoh isu pemakaian warna kasut dan stoking pelajar sekolah yang ditimbulkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, beliau berkata media terlalu mensensasikan isu itu, sebaliknya ada perkara asas yang lebih penting di kementerian pendidikan yang boleh dilaporkan.

Kadir berkata media perlu menjadi pembantu dan pembetul arah kepada barisan menteri Kabinet HARAPAN dalam era pentadbiran pada masa sekarang.

Katanya ini kerana sesetengah pengamal media mempunyai pengalaman yang lebih lama berbanding menteri HARAPAN yang kebanyakannya masih baru.

"Wartawan boleh menjadi 'guru' dengan berkongsi pengalaman yang ada pada mereka," katanya.

Beliau juga tidak mahu wartawan terikut-ikut dengan sesetengah menteri yang tidak pandai berhujah, sebaliknya lebih banyak melaporkan berita yang meningkatkan taraf perbahasan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS