Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ini pemilihan paling kotor sejak saya sertai MIC 25 tahun lalu'

Seorang calon jawatan timbalan presiden dalam pemilihan MIC yang baru saja selesai menyifatkannya sebagai "pemilihan paling kotor" sepanjang 25 tahun penglibatannya dalam parti itu.

"Sejak saya mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden selepas penyandang Datuk Seri SK Devamany tidak berhasrat mempertahankannya, saya menerima pelbagai tekanan oleh pihak tertentu dalam parti.

"Mereka tidak beri peluang kepada saya untuk berkempen. Saya dihalang dengan pelbagai cara," kata Tan Sri MP Ramasamy kepada Malaysiakini.

Justeru Ramasamy yang juga ahli perniagaan menggesa kepimpinan MIC mengadakan pemilihan semula untuk memperbetul apa yang disifatkannya sebagai salah laku yang mencemarkan proses pemilihan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang didakwa memberi tekanan kepadanya.

Beliau mendakwa pemilihan dilakukan secara tidak telus dan "berat sebelah terhadap satu pihak", serta telah menghantar tujuh surat bantahan kepada pimpinan dan jawatankuasa pemilihan.

"Saya hantar tujuh surat bantahan bermula pukul 8.45 malam sehingga 11 malam di hari pengundian untuk membatalkan pemilihan selepas mendapati banyak kecelaruan berlaku. Antaranya ejen-ejen saya dihalang ke pusat pengundian.

"Saya juga dapati kebanyakan anggota parti yang berjawatan di peringkat bahagian berada di pusat pengundian bahagian masing-masing. Mereka memaksa pengundi memilih calon tertentu," dakwanya sambil menambah ia jelas menyalahi perlembagaan parti.

"Lebih teruk, ada ketua cawangan mengundi bagi pihak ahli yang tidak hadir. Ini kesalahan berat kerana mereka juga menurunkan tandatangan bagi anggota itu," dakwanya.

Beliau berkata mempunyai bukti kejadian itu.

Beri masa tujuh hari

Pada Sabtu lalu, anggota MIC memilih bagi barisan kepimpinan untuk penggal 2018-2021.

Anggota Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan (gambar) menewaskan Ramasamy untuk jawatan timbalan presiden.

Ramasamy mendapat 5,270 undi berbanding Saravanan yang mendapat 9,391 undi.

Beliau yang juga bekas pengerusi MIC Perak juga mempersoalkan angka 14,911 pengundi seperti yang disebut pimpinan parti itu.

"Saya ada bukti 4,000 pengundi pada hari pemilihan adalah 'pengundi hantu' atau undi mereka dibuat oleh pihak lain."

Beliau berkata telah menyerahkan memorandum kepada kepimpinan parti, jawatankuasa kerja pusat dan jawatankuasa pemilihan berhubung perkara itu semalam, dan memberi masa tujuh hari sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mengesahkan tentang memorandum itu dan berkata telah mengarahkan jawatankuasa disiplin menyiasat dakwaan yang dikemukakan.

"Semua dakwaan dan aduan akan disiasat secara telus," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS