Sekumpulan 36 peserta kursus yang sesat dan terperangkap ketika melakukan aktiviti merentas hutan di kawasan hutan bersempadanan antara Perak dan Selangor di sini semalam, ditemui selamat, awal pagi ini.
Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dan Kuala Kubu Bharu yang melakukan operasi dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan pada pukul 6.25 petang semalam, menemukan mereka dalam keadaan keletihan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Muhammad Husaini Mohamad Zam berkata mereka yang merupakan pelajar dan staf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ditemukan dan dibawa keluar pada pukul 2.50 pagi dengan dua daripada mereka mengalami masalah sesak nafas dan kekejangan otot kaki.
Katanya mereka yang merupakan peserta Outdoor Pro Group Consultancy Kuala Lumpur merangkumi 32 peserta kursus (17 wanita dan 15 lelaki) dan empat jurulatih, dipercayai sukar keluar dari hutan itu kerana cuaca gelap dan perlu mengharungi arus sungai deras.
"Seramai 22 anggota bomba yang melakukan gerak kerja mencari dan ke dalam hutan itu berjalan kaki kira-kira sejam untuk sampai ke lokasi mereka.
"Disebabkan perlu mengharungi sebatang sungai yang deras separas dada, kita membawa keluar kesemua mangsa dengan teknik 'tensiones diagener' iaitu menggunakan tali. Bagaimanapun dua lagi sungai hanya melibatkan 'river crossing' sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya operasi SAR yang tamat pada pukul 5.15 pagi tadi membabitkan 46 anggota bomba, lapan polis dan lima Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM).
- Bernama
