Pejabat presiden S'pura tolak petisyen pengampunan keluarga Prabu - Peguam
Pejabat Presiden Singapura pada malam tadi menolak petisyen pengampunan yang kemukakan keluarga Prabu N Pathmanathan, warga Malaysia yang dijadual menjalani hukuman mati hari ini, menurut peguam N. Surendran.
“Mereka menghantar surat itu kepada saudara lelaki Prabu,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi menerusi WhatApps pagi ini.
Keluarga Prabu telah menyerahkan petisyen pengampunan yang baharu pada hari Khamis.
Petisyen itu ditandatangani ibu bapa Prabu dan lima adik beradiknya.
Prabu dijadual menjalani hukuman mati hari ini, pada waktu subuh di Penjara Changi.
Bagaimanapun, Surendran, penasihat The Lawyers for Liberty berkata beliau masih belum mendapat pengesahan berhubung pelaksanaan hukuman mati itu pagi ini.
Prabu, 31, dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan menyeludup 227.82g dadah diamorphine atau heroin ke negara pulau ini pada 31 Dis, 2014.
- Bernama

