Selepas memainkan peranan penting dalam kempen menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Invoke Malaysia kini beralih kepada analisis perniagaan dan profil pengguna.

Menurut laman Facebook Invoke, firma itu kini menawarkan perkhidmatan untuk membantu membuat keputusan perniagaan.

Dari segi profil pengguna, Invoke berkata ia mempunyai data 20 juta pengguna Malaysia dan mampu membantu perniagaan merangka strategi pemasaran.

"Kami telah terbukti menjadi pemprofil yang paling tepat mengenai kecenderungan politik Malaysia.

"Kami dapat mencapai tahap ketepatan profil yang tinggi kerana kami menjalankan pelbagai simulasi terhadap beberapa ratus peramal.

"Memprofilkan pengundi berdasarkan kecenderungan politik adalah yang paling sukar kerana responden pada umumnya enggan untuk menyatakan kegemaran mereka. Ia lebih mudah untuk secara statistik mengetahui sama ada seseorang suka sesuatu jenama aiskrim berbanding jenama lain.

"Kami menggunakan teknik yang serupa yang telah membantu kami memfokuskan kecenderungan politik dengan tepat ke atas profil pengguna," kata Invoke.

Perkhidmatan kaji selidik Invoke bermula serendah RM20 bagi setiap responden.

Kajian itu dikendalikan melalui sebuah pusat berkomputer sepenuhnya yang mampu membuat 300 panggilan setiap minit.

Proses ini diawasi oleh 30 penganalisis yang membuat panggilan sepenuh masa dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.