Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kebenaran mahkamah AS dipohon untuk jual pesawat Jho Low
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 10:40 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Jabatan Keadilan AS (DOJ) dan Global One Aviation (Global 5000) Ltd memohon kebenaran mahkamah California untuk menjual pesawat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Ini sementara menunggu keputusan muktamad berhubung saman pelucutan sivil oleh DOJ untuk merampas pesawat yang kini diletakkan di lapangan terbang Seletar Singapura.

Sekiranya jualan interlokutori dibenarkan, pemenang dalam saman itu akan memperoleh hasil jualan, yang disimpan dalam akaun yang dikenakan faedah selepas ditolak yuran dan perbelanjaan.

Menurut pemfailan mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, pihak-pihak berkenaan telah bersetuju bahawa jualan yang dicadangkan itu adalah wajar dan perlu sementara menunggu penyelesaian saman itu.

Antara lain, pihak-pihak tersebut menyatakan bahawa pesawat itu berisiko mengalami susut nilai dan kerosakan kerana ia tidak digunakan sepanjang tempoh yang diambil untuk menyelesaikan saman itu, jika tidak dijual kepada pihak ketiga.

"Perbelanjaan untuk menjaga pesawat itu (juga) berlebihan dan / atau tidak seimbang dengan nilai pasaran," kata pihak terbabit.

Setelah menerima kebenaran mahkamah untuk meneruskan jualan, pihak-pihak berkenaan dalam masa 15 hari akan mengadakan proses pembidaan terbuka bagi pesawat itu, dan akan menerima tawaran yang dihantar secara bertulis selama 25 hari daripada tarikh ia bermula.

Ia juga menyatakan bahawa pihak-pihak tersebut sepatutnya bersetuju dengan harga rizab minimum bagi pesawat itu.

Dokumen mahkamah juga menyatakan bayaran akan diagihkan di antara pihak-pihak berkenaan, termasuk sebagai bayaran kepada Jet Aviation - sebuah firma swasta yang telah menyimpan pesawat itu di Lapangan Terbang Seletar selama 18 bulan.

Pada Ogos lalu, The Straits Times Singapura melaporkan jumlah yang terhutang kira-kira sebanyak RM3.5 juta.

Pesawat jenis Bombardier Global 5000 yang dikaitkan dengan Low adalah sebahagian daripada aset bernilai AS$ 1.7 bilion yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS