Permohonan Najib pindah kes pengubahan wang haram Rabu ini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Rabu ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memindahkan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed bertindak bagi pihak Najib.
Pendengaran minggu depan akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Sebelum ini, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata pertuduhan pengubahan wang haram terhadap anak guamnya akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Najib bulan lalu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan itu yang dikaitkan dengan 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.
Sebanyak 21 pertuduhan dikemukakan polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATF) 2001.
Empat lagi kes dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas pertuduhan salah guna kuasa.
Semalam, Najib dituduh untuk kali keempat bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah atas pertuduhan pecah amanah berkaitan dana kerajaan berjumlah RM6.6 billion .
Najib setakat ini berdepan keseluruhan 38 pendakwaan.

