'Keluhan Najib tentang kertas pertuduhan hanya untuk alih perhatian'
Keluhan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kertas pertuduhan yang tidak diberikan kepadanya lebih awal hanyalah untuk mengalihkan perhatian, kata peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Peguam jenayah itu berkata "bukanlah perkara yang luar biasa" apabila dakwaan hanya dibacakan di mahkamah bagi setiap kes jenayah.
Malah tambah Rafique, dalam kebanyakan kes, kertas pertuduhan tidak diserahkan kepada peguam atau tertuduh kecuali permohonan dibuat oleh peguam.
"Kertas pertuduhan itu hanya satu daripada banyak persediaan dalam sesebuah perbicaraan. Perbicaraan sebenar belum bermula. Pihak defendan tidak terjejas sama sekali.
"Mendapat kertas pertuduhan seminggu atau sebulan awal sebelum seseorang itu didakwa secara rasmi juga tidak membawa apa-apa erti memandangkan hanya pada perbicaraan 'keseronokan sebenar' bermula apabila peguam diberikan peluang untuk menguji kes pendakwaan.
"Maka, sebarang kenyataan dibuat berhubung kertas pertuduhan yang tidak diberikan lebih awal hanyalah untuk mengalih perhatian," kata Rafique kepada Malaysiakini.
Rafique menambah bahawa kertas pertuduhan hanya untuk memastikan tertuduh memahami kesalahan yang didakwa dilakukannya dan tidak bersifat prejudis terhadap pembelaan.
Rafique berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib di kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam yang menyatakan kekesalan kerana pihak pendakwaan hanya memberikan kertas pertuduhan kes pecah amanah ke atasnya lima minit sebelum sidang mahkamah dimulakan.
Semalam, Najib dan bekas ketua perbendaharaan negara, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dihadapkan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan RM6.63 bilion dana kerajaan Malaysia.
Kedua-dua mereka mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan.

