Malaysiakini
BERITA

Usah dilayan Lokman Adam - Asyraf Wajdi

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2018, 7:35 pagi

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki enggan melayan tuntutan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda.

Bercakap kepada Malaysiakini, Asyraf mempersoalkan kelayakan Lokman untuk membuat gesaan tersebut.

"Tanya dia (Lokman) balik, dia pemuda (Umno) ke? Tak apalah, tak perlu layan sangatlah dia tu.

"Keputusan yang dibuat semalam bukan datang daripada saya seorang, sebaliknya sebulat suara dalam mesyuarat semalam dan saya tetap dengan pendirian itu," katanya.

Kritikan keras Lokman itu dibuat selepas Asyraf semalam menggesa Zahid supaya bercuti kerana berdepan pertuduhan di mahkamah.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat pemuda Umno di ibu negara semalam.

Tidak puas hati dengan perkara itu, Lokman membuat gesaan balas dengan menuntut Asyraf meletakkan jawatan dan menyifatkannya sebagai ketua pemuda yang gagal.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi sayap-sayap Umno lain ekoran kenyataan Asyraf itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.