Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) akan diteruskan oleh MMC-Gamuda selepas syarikat itu bersetuju memberikan potongan kos sebanyak RM3.6 bilion bagi kerja-kerja bawah tanah projek berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, perkembangan terbaru itu bererti kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos-kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion atau 22.4 peratus daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.

"Dalam mesyuarat hari ini, jemaah menteri telah pun bersetuju dengan tawaran baru oleh MMC-Gamuda dan kos rasionalisasi yang berjaya dijalankan oleh Kementerian Kewangan.

"Bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan, kecuali dua buah stesen bawah tanah – Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) - akan ditangguhkan. 

"Jumlah stesen sekarang ialah 33 stesen berbanding 35 stesen di dalam rancangan asal.

"Penjimatan kos pembinaan projek ini sebanyak RM8.82 bilion atau 22.4 peratus juga akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT pada masa depan, sekaligus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk Lembah Klang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

MMC-Gamuda sebelum ini mencadangkan pemotongan kos RM2.13 bilion bagi kerja-kerja bawah tanah projek MRT2, namun tidak dipersetujui Kementerian Kewangan.

Susulan itu, Kementerian Kewangan mahu menamatkan kontrak MMC-Gamuda dan membuka semula tender bagi kerja-kerja bawah tanah projek berkenaan.

MMC-Gamuda kemudian berkempen dengan mendakwa tindakan kerajaan itu boleh menyebabkan syarikat mereka berdepan pelbagai saman dan ramai kakitangan yang terlibat dengan projek itu hilang pekerjaan.

Putrajaya menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa kakitangan berkenaan boleh kembali bekerja sebaik kontraktor baru mengambil alih.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar Kementerian Kewangan mengadakan rundingan terakhir dengan MMC-Gamuda yang akhirnya mencapai kata sepakat untuk pengurangan kos RM3.6 bilion.