Polis mendedahkan motif tiga suspek warga tempatan yang menculik seorang lelaki warga India, di Kepong pada 14 Okt lalu, adalah untuk meminta wang ganti rugi kerana tidak berpuas hati dengan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata mangsa dipercayai seorang sami menyediakan perkhidmatan boleh mengubah nasib seseorang melalui upacara keagamaan.

"Ketiga-tiga suspek dituduh hari ini di Mahkamah Sepang di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan dan menculik," katanya pada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program ‘High Profile Policing’ di pasar pagi Taman OUG hari ini.

Ditanya butiran lanjut kes berkenaan termasuk jumlah wang dituntut ketiga-tiga suspek, Rusdi berkata kes itu masih dalam siasatan dan enggan mengulas lanjut.

Turut hadir dalam program itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Pada 14 Okt lalu, tiga lelaki tempatan menculik dan mengurung mangsa di sebuah lokasi di Sungai Pelek, Selangor. Hasil maklumat anggota keluarga mangsa, pada 17 Okt polis melakukan serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan ketiga-tiga suspek.

- Bernama