Anggota PGA gagalkan cubaan seludup lembu
Anggota Batalion 11 (BN11) Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk enam ekor lembu dari negara jiran di Telok Melano, dekat Sematan malam tadi.
Pegawai Pemerintah BN11 PGA Supt Rosdi Inai berkata rampasan dilakukan semasa sepasukan anggota pasukan itu yang bertugas di Pos Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Telok Melano sedang membuat pemeriksaan di kawasan tanggungjawab (KTJ) jalan masuk antara Telok Melano, Sematan dengan Temajuk, Sambas, Kalimantan Barat pada 11.30 malam.
"Semasa pemeriksaan tersebut, pasukan diketuai Inspektor Michael Kilab telah terserempak dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) masing-masing membawa tiga ekor lembu. Empat lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 42 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokument atau permit yang sah berkaitan pemilikan haiwan yang dibawa," katanya hari ini.
Beliau berkata berikutan itu anggota BN11 PGA bertindak merampas enam ekor lembu, dua buah 4WD jenis Nissan Navara dan Toyota Hilux, tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama serta dua unit power bank.
"Empat lelaki tersebut serta barangan rampasan bernilai RM188,000 telah diserahkan kepada Pondok Polis Telok Melano untuk tindakan lanjut," katanya.
- Bernama

