Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menyatakan rasa kesal dengan dengan keputusan kerajaan Singapura menjalankan hukuman mati ke atas warganegara Malaysia Prabu Pathmanathan atas kesalahan mengedar dadah.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata, meskipun Singapura merupakan negara maju, ia masih melaksanakan amalan lapuk yang bertentangan dengan hak kepada kehidupan serta norma peradaban yang progresif.

"Suhakam menyeru kerajaan Singapura untuk terus maju ke arah kesedaran yang lebih menyeluruh dalam mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memansuhkan hukuman mati," katanya.

Tambah Razali, meskipun Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mempunyai pengecualian terhadap perlaksanaan hukuman mati, namun ia hanya untuk kes jenayah yang ‘amat serius’.

"Ini telah berulang kali ditakrifkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia yang bertanggungjawab dalam interpretasi Kovenan bahawa kesalahan dadah tidak memenuhi kriteria sebagai jenayah yang amat serius," katanya.

Prabu, dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan menyeludup 227.82g dadah diamorphine atau heroin ke negara pulau itu pada 31 Dis, 2014.