Hujan lebat di pantai timur, banjir makin buruk
Banjir di pantai timur kembali buruk setelah hampir pulih beberapa hari lalu. Di Kelantan dan Terengganu ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan apabila hujan lebat menenggelamkan kawasan rendah.
Sebanyak 3,452 mangsa banjir dari 623 keluarga dipindahkan ke 17 pusat pemindahan di Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli berikutan hujan lebat di kawasan pedalaman terutama di Jeli yang mencatat taburan hujan 200mm.
Menurut laporan Bernama, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata mangsa terbanyak dipindahkan ialah di Jeli iaitu 2,804 orang dari 466 keluarga.
Katanya Jeli mencatatkan jumlah perpindahan mangsa banjir paling ramai pada pukul 8 pagi ini berikutan paras air di Sungai Golok di Jenob meningkat kepada 23.92m melebihi paras bahaya 23.50m.
Walaupun beberapa batang sungai utama yang lain masih di bawah paras waspada namun paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat 9.26m melebihi paras bahaya 9m.
Berikutan hujan lebat sejak semalam, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kilometer 100.5 di lebuhraya Timur-Barat di Jeli tetapi separuh daripada jalan terbabit masih boleh digunakan.
Tanah mendap juga dilaporkan berlaku di persimpangan Sungai Tias menuju ke Bukit Pagar di Kuala Krai tetapi jalan terbabit tidak ditutup kepada lalu lintas.
Semua jalan utama di negeri ini masih boleh dilalui.
Mangsa di Terengganu .
Di Terengganu, keadaan banjir semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,280 orang sehingga pukul 8.30 pagi tadi berbanding 274 orang pada 10 Khamis malam.
Pegawai Turus Gerakan Ibu Polis Kontinjen Negeri DSP Setapa Yusoff berkata daerah yang paling teruk ialah Besut membabitkan pemindahan 579 orang dan Setiu 578 orang.
"Daerah Marang dan Dungun turut dilanda banjir dengan masing-masing seramai 102 dan 21 orang yang dipindahkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata 25 buah pusat pemindahan dibuka sehingga kini iaitu 12 di Besut, sembilan di Setiu, tiga di Marang dan satu di Dungun.
Jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu yang ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air sedalam satu meter malam tadi dibuka semula awal pagi ini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa batang jalan dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan sejak pagi ini iaitu jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang yang dinaiki air sedalam satu meter di Kampung Temala.
Di Setiu, jalan Hulu Seladang ke Besut dan jalan Penarik ke Jertih, masing-masing dinaiki air sedalam satu meter dan ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri berkata paras air di kebanyakan sungai sedang meningkat ke tahap bahaya.
Katanya bacaan di Sungai Setiu pada 8 pagi ini melepasi paras bahaya iaitu 9.34 meter (paras bahaya 8.50 meter).
Di Kedah, paras air di Padang Terap beransur surut tetapi seramai 20,181 mangsa banjir masih berada di 65 pusat pemindahan di tiga daerah di Kedah.
Setakat pukul 10 pagi Jumaat, jumlah itu menurun sedikit berbanding 20,309 orang yang berkampung di 74 pusat pemindahan seperti direkodkan semalam.
Kedah makin pulih
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Padang Terap berkata keadaan kawasan yang dilanda banjir di daerah itu semakin pulih dengan hanya 245 mangsa daripada 58 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan.
Kesemua mangsa itu dari Mukim Belimbing Kiri dan Kanan serta Padang Temak.
Sejak Khamis malam sehingga awal pagi ini, seramai 2,579 mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala 19 pusat pemindahan telah ditutup.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kubang Pasu pula berkata 34 pusat pemindahan di daerah itu masih beroperasi dengan menempatkan 10,293 mangsa daripada 3,017 keluarga.
Mukim yang masih dilanda banjir ialah Wang Tepus, Sungai Korok dan Jerlun manakala yang hampir pulih ialah Hosba, Temin, Sungai Laka dan Binjal.
Di Kota Star, jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu berkata seramai 9,643 mangsa daripada 1,024 keluarga masih berkampung di 27 pusat pemindahan.
Kesemua mangsa itu adalah dari 32 kampung di 12 mukim antaranya Dehrang, Bukit Pinang, Pumpong, Anak Bukit, Gunung, Kota Star, Alor Merah dan Sungai Baru.
Beberapa batang jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ringan di bandaraya Alor Star semalam, antaranya Lebuhraya Darulaman berhampiran Stadium Darul Aman, telah dibuka semula.
Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas masih belum beroperasi pagi ini sejak ditutup beberapa hari lepas berikutan air yang melimpah ke landasan.

