Malaysiakini
BERITA

Najib: Berlian merah jambu Rosmah hadiah dari putera UAE

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2018, 12:51 tengahari

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan loket rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu yang turut dikaitkan dalam siasatan skandal 1MDB, dibelikan oleh putera dari negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam wawancara dengan Al Jazeera untuk program 101 East, Najib menamakan putera berkenaan sebagai Sheikh Mansour Zayed, yang merupakan timbalan perdana menteri UAE dan naib pengerusi UAE's International Petroleum Investment Company.

Dalam wawancara itu, apabila pengacara program Mary Ann Jolley menyebutkan bahawa AS$27 juta dari 1MDB digunakan untuk membeli loket berkenaan untuk Rosmah selepas Najib memulangkan AS$620 juta kepada akaun yang dikaitkan dengan Jho Low, bekas perdana menteri itu kelihatan tidak senang.

Najib berkata Sheikh Mansour merupakan "kenalan rapat" Jho Low yang kini dikehendaki di Malaysia berhubung skandal 1MDB.

Najib juga mendakwa Rosmah tidak pernah menerima berlian berkenaan.

"Apa yang berlaku tentang berlian merah jambu itu adalah pertikaian. Jadi jangan buat kesimpulan sendiri," katanya.

Menurut Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, berlian merah jambu itu dibeli oleh Jho Low menggunakan AS$620 juta yang Najib telah pulangkan kepada "penderma Arab", yang kemudian dikenal pasti adalah sebuah syarikat yang diuruskan oleh proksi Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.

DOJ mendakwa Rosmah dan Jho Low bertemu dengan tukang berlian yang mereka rantai berlian itu di sebuah kapal layar di Monaco pada Julai 2013.

Ketika diminta mengulas lanjut perkara itu, Najib menjawab: "Kami tidak tahu, apa yang kami tahu ia adalah hadiah daripada Sheikh Mansour yang tahu dengan duit apa ia dibeli dan siapa bayar. Kami tidak tahu! Kami tidak tahu nilai hadiah itu."

Sementara itu, Najib juga mendedahkan bahawa Sheikh Mohamed Zayed, yang merupakan adik kepada Sheikh Mansour dan putera mahkota UAE - merupakan penaja Red Granite, studio filem Riza Aziz yang juga anak tiri Najib.

"Putera Mahkota Mohamed Zayaed memberitahu dia (Riza) di depan saya sendiri bahawa dia akan melabur dalam filem Riza. Jadi kami anggap sebarang pelaburan yang datang dari Abu Dhabi adalam pinjaman.

"Dan anak tiri saya sedia untuk membayar setiap sen yang diberikan kepadanya sebagai pinjaman kerana ia adalah pinjaman dan dia sedia bayar balik," katanya.

Berhubung "derma" RM2.6 bilion pula, Najib berkata dia tidak mengenal pasti sumbernya, dan percaya bahawa ia adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

"Soalnya ketika saya menerima wang itu, saya tidak mempunyai maklumat perbankan untuk mengetahui sumber wang itu atau sama ada sumber wang itu menjadi pertikaian.

"Kerana siapapun yang memberi dana itu dilindungi oleh undang-undang bank untuk merahsiakan nama mereka, jadi apabila saya terima dana itu, sejujurnya, saya fikir ia adalam derma dan pada ketika itu, apa yang saya tahu adalah berdasarkan perbualan dengan Raja Abdullah," katanya.

Wawancara itu akan disiarkan esok pukul 11.30 pagi waktu Malaysia dengan siaran ulangan pada Isnin dan Selasa. Program itu boleh ditonton di laman web selepas siaran kali pertama.

[Baca berita asal]

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.