Tentera Malaysia sudah berundur dari Yaman, kata Menteri Luar Negara Datuk Saifuddin Abdullah.

"Ketika ini, semua tentera kita telah pulang dan kita tidak lagi terlibat," katanya selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir di Putrajaya hari ini.

Saifuddin berkata beliau sudah memaklumkan Adel berhubung keputusan kabinet untuk tidak lagi terlibat dalam pakatan yang dipimpin Arab Saudi.

Ini merupakan kali pertama kerajaan mengakui penglibatan dalam pakatan pimpinan Arab Saudi dalam konflik di Yaman yang bermula sejak 2015 dan menyebabkan pergolakan negara itu.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjadi menteri pertahanan memberitahu parlimen pada 2017 bahawa tentera Malaysia yang dihantar ke Riyadh tidak terlibat dengan konflik berkenaan.

Ketika itu, Hishammuddin berkata tentera Malaysia hanya terlibat dengan usaha membawa keluar rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Hishammuddin itu dilihat bercanggah dengan pelbagai laporan yang mendakwa tentera Malaysia terlibat secara langsung menyokong Arab Saudi.

Pada Jun lalu, selepas mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan memutuskan untuk menarik semula tentera Malaysia dari negara itu.

[Baca berita asal]