Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin menang di Kedah, luaskan jurang dengan Rafizi

PEMILIHAN PKR | Penyandang Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali meluaskan jurang dalam pemilihan PKR selepas selesai pengundian di 10 daripada 15 cabang di Kedah hari ini.

Ia selepas tokoh pemimpin PKR negeri itu Datuk Johari Abdul bergelut untuk mendapatkan sokongan buat pencabar Azmin iaitu Rafizi Ramli.

Untuk pengundian hari ini, Azmin menang di enam cabang dengan kelebihan 117 undi apabila mendapat 1,148 undi berbanding Rafizi yang mendapat 1,031 undi.

Johari yang bertanding untuk jawatan naib presiden dan sebahagian daripada kem Rafizi pada mulanya diharap mampu mendapatkan undi buat bekas anggota parlimen Pandan itu.

Namun beliau sendiri hanya mendapat tempat keempat (1,306 undi) dalam persaingan jawatan naib presiden di belakang Nurul Izzah Anwar (1,620), Zuraida Kamaruddin (1,437) dan Tian Chua (1,308).

Beliau masih berpeluang merapatkan jurang apabila anggota cabangnya iaitu Sungai Petani - bersama-sama cabang Jerai, Merbok, Kulim Bandar Baru dan Padang Serai - akan keluar mengundi esok.

Selepas keputusan hari ini, Azmin terus mendahului dengan jumlah 35,531 undi. Jumlah undi untuk Rafizi pula 34,153.

Kedudukan empat teratas bagi naib presiden pula tidak berubah, iaitu Nurul Izzah (39,624), Zuraida (31, 348), Dr Xavier Jayakumar (27,198) dan Tian Chua (25,169).

Kem Azmin mendahului sayap wanita

Hari pertama pengundian di Kedah meletakkan Haniza Talha di depan bagi persaingan ketua wanita. Beliau mendapat 570 undi, sedikit tinggi berbanding pesaingnya Fuziah Salleh (535).

Haniza - salah seorang dalam kem Azmin - meluaskan jurangnya dengan majoriti 2,860 undi.

Dr Daroyah Alwi - juga dalam kem Azmin - turut mendahului pesaingnya Rodziah Ismail bagi jawatan timbalan ketua wanita apabila mendapat 552 undi berbanding Rodziah (507).

Sementara itu, bagi persaingan ketua pemuda, anak didik Rafizi, Akmal Nasir sedikit popular di Kedah apabila mendapat 371 undi sementara pesaingnya Dr Afif Bahardin dengan 368 undi. Calon ketiga Najwan Halimi mendapat 39 undi.

Bagaimanapun Afif kekal mendahului secara keseluruhan dengan 8,311 undi.

Bagi jawatan timbalan ketua pemuda, setiausaha politik Azmin, Hilman Idham mendahului dua pesaingnya - Raymond Ahuar dan Naqiuddin Nazrin - dengan 438 undi.

 

 

Lihat Komen
ADS