Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Batal langgan Utusan keputusan tidak bijak'
Diterbitkan:  Oct 27, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Tindakan Kementerian Pendidikan mengekalkan keputusannya untuk membatalkan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di pelbagai agensi dan institusi pendidikan disifatkan sebagai tidak bijak.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, keputusan itu juga menunjukkan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) selama ini hanya retorik.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengenai perkara itu di Dewan Rakyat semalam, lapor Utusan Malaysia.

“Saya merasakan keputusan ini tidak bijak dari segi pendidikan kerana kenyataan Nie Ching dianggap sebagai sesuatu yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

"Perkara ini juga seolah-olah menunjukkan kebebasan media yang diperkatakan selama ini hanyalah retorik.

“Jika mengatakan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tidak mencapai standard memupuk nilai murni, banyak lagi akhbar tidak memperjuangkan bahasa Melayu atau mengangkat kepentingan Melayu.

"Ini adalah keputusan politik disebabkan akhbar berkenaan mempunyai kaitan dengan parti politik lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Nie Ching berkata keputusan membatalkan langganan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bagi semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah kementerianya kekal.

Nie Ching berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Menurut Nie Ching, berita daripada akhbar berkenaan boleh dicapai menerusi atas talian dan media sosial.

“Hasrat KPM untuk langgan akhbar-akhbar yang menguar-uarkan nilai murni, memupuk perpaduan dan bukan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Datuk Dr. Hasan Mad berkata, keputusan membatalkan langganan akhbar itu disebabkan agenda peribadi dan bukan berkaitan polisi kerajaan.

Katanya, sebelum ini, kerajaan hanya mengarahkan pemberhentian langganan akhbar disebabkan faktor kos.

“Saya rasa menteri sebelum ini menyuruh berhenti melanggan tetapi tidak kata boikot dan keputusan henti langganan tersebut merupakan agenda peribadi tidak ada kena mengena dengan polisi,” katanya.

Lihat Komen
ADS