Proses pengundian untuk memilih barisan kepimpinan pusat dan cabang PKR negeri Perak di semua 24 pusat berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan atau insiden setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Adzman Hedra berkata sistem e-undi iaitu pengundian secara digital yang diguna pakai kali ini juga berjalan lancar setakat 12.30 tengah hari ini.

Selain itu, Adzman berkata pihaknya menerima laporan terdapat pusat pengundian diserbu ramai pengundi pada jam pertama pusat itu dibuka, namun berjaya dikawal.

"Kita juga telah keluarkan arahan kepada ketua pengawas JPP untuk berunding dengan ketua cabang supaya dapat membawa keluar (mengundi) penyokong secara berjadual bagi mengelak kesesakan di pusat pengundian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat pukul 12 tengah hari, pusat pengundian di cabang Kuala Kangsar mencatatkan peratusan pergi mengundi paling ramai ialah 12.46 peratus atau 220 daripada 1,766 orang, manakala peratusan paling sedikit adalah di Bagan Serai iaitu 1.18 atau 42 orang daripada 3,565 pengundi layak.

"Mungkin ramai pengundi akan pergi mengundi pada sebelah petang memandangkan hari ini Sabtu dan mereka mahu menghabiskan masa dengan keluarga dahulu," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail berkata proses pemilihan di seluruh negeri berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau laporan penipuan.

Beliau, yang juga calon Ketua Cabang Tapah dan Ketua Serikandi PKR berkata, peratusan ahli yang pergi mengundi pada sebelah pagi adalaah memberangsangkan, terutama di lokasi yang menyaksikan pertembungan tokoh-tokoh pemimpin di peringkat pusat.

Mengenai pertukaran dua lokasi pemilihan iaitu cabang Bagan Datuk dan cabang Parit, Siti Aishah berkata pihaknya dimaklumkan oleh JPP tentang perkara itu semalam ​​​​​​​atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun kedua-dua tempat itu wujud pertukaran pada saat akhir namun pemilihan tetap diteruskan. Lokasi lain adalah kekal,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Al-Mukmin di Kampung Batu 3, Tapah.

Lokasi asal pusat pemilihan cabang Bagan Datuk adalah Dewan Komuniti Batu 20, Bagan Datuk namun ditukar kepada Dewan Sanmarka Orang India di Hutan Melintang, ​​​​​​​manakala pusat pemilihan cabang Parit dari Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota Kanan ditukar ke Dewan Orang Ramai Kampung Kubang Chandong, Bota Kanan.​​​​​​​

Seramai 60,878 anggota PKR di Perak hari ini mengundi secara serentak di 24 cabang yang menyaksikan 54 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang, manakala 1,183 calon lagi menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan lain di peringkat cabang.

- Bernama