Calon Presiden MCA Ngoo Teck Keong berkata parti itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan 1MDB sekiranya beliau memenangi jawatan nombor satu dalam parti itu.
Ngoo berkata pihaknya akan menyediakan semua dokumen yang diperlukan kepada SPRM sekiranya terpilih untuk menerajui MCA.
"Saya akan memberikan semua surat dan dokumen MCA yang dikaitkan dengan Najib kepada SPRM. Ini termasuk laporan aliran modal MCA juga," katanya.
Ngoo berkata demikian merujuk kepada dana pilihan raya 2013 yang diterima MCA daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya kesemua pemimpin parti itu terheret sama dalam skandal 1MDB semasa pentadbiran Najib.
"Pemimpin MCA yang terlibat dalam kerajaan terdahulu, termasuk bekas presiden, mesti disiasat oleh pihak berkuasa untuk membuktikan mereka tidak bersalah," katanya.
Beliau turut menamakan dua lagi calon presiden iaitu Datuk Wee Ka Siong dan Gan Ping Sieu turut bertanggungjawab kerana merupakan menteri kabinet pada era Najib.
"Mereka berdua adalah menteri semasa zaman Najib. Tidak kira bila pelantikan mereka, mereka terkait dengan bekas perdana menteri," katanya.
Ngoo, 30 ketika mengumumkan manifesto beliau di Wisma MCA di Jalan Ampang petang ini menggambarkan dirinya sebagai 'antibiotik' untuk menyembuhkan 'penyakit' MCA.
Namun apabila ditanya sama ada beliau bercadang memulangkan dana pilihan raya yang diterima MCA, Ngoo berkata perkara itu akan dirujuk kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, beliau kesal kerana MCA sebelum ini tidak mempunyai pendirian jelas mengenai isu-isu utama negara di bawah pentabdiran BN.
Oleh itu sekiranya dipilih, Ngoo berjanji memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Cina dan anggota-anggota MCA menerusi siaran langsung di media.
"Untuk tinggalkan atau kekal dalam BN itu bukan soalan yang perlu ditanya dulu. Saya fikir kita perlu memohon maaf kepada rakyat, kerana salah kita sebab tidak mempunyai keberanian untuk mengakui salah laku kita," katanya.
Mengenai aset MCA, Ngoo mencadangkan supaya Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) diserahkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Ini katanya supaya kerajaan dapat mengotakan manifesto mereka untuk melaksanakan pendidikan percuma dan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Ngoo tidak memberitahu secara khusus bagaimana untuk menyerahkan institusi milik MCA itu, namun menegaskan akan sentiasa menyokong dasar yang baik daripada kerajaan.
"Selagi manifesto HARAPAN memberi manfaat kepada rakyat, kita akan tunjukkan sokongan kita.
"Saya harus katakan bahawa ini adalah untuk sokong dasar yang baik, kita tidak bergabung atau menyertai Pakatan Harapan," katanya.
