Presiden MIC tegur perwakilan: Jangan buat janji emosi
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dalam ucapannya di Perhimpunan Agung MIC ke-72 hari ini menegur para perwakilan yang berjanji akan menerima sebarang pihak sebagai komponen BN dalam gabungan baru pembangkang.
Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara meminta lebih 2,000 hadirin supaya tidak lagi membuat sebarang janji dengan emosi.
"Kita (MIC) tidak boleh terlalu emosi. Haluan MIC perlu diambil oleh parti kita. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, kita akan pilih dimana kita nak tanding. Dan seterusnya kita bekerja di sana dengan kekuatan kita sendiri," katanya dalam ucapan penggulungan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta para hadirin supaya berjanji untuk menerima parti-parti baru ke gagasan pembangkang.
Permintaan Zahid diterima baik oleh perwakilan yang menggegarkan dewan dengan laungan 'janji' sebanyak tiga kali.
Namun, Vigneswaran meningatkan perwakilan bahawa MIC tidak boleh bekerjasama dengan parti yang tidak sehaluan dengan mereka.
"Bagaimana dengan parti-parti yang tidak sehaluan dengan kita?" soalnya sambil menggesa ahli MIC supaya tidak membuat sebarang keputusan secara emosi.
Terdahulu, Vigneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Zahid kerana menghadiri perhimpunan tahunan parti itu.
Sementara itu, perwakilan yang hadir hari ini merakamkan rasa kecewa selepas presiden tidak mengumumkan barisan pimpinan baru bagi peringkat negeri.
Di bawah perlembagaan baru parti, presiden parti akan memilih barisan pimpinan negeri iaitu pengerusi dan timbalan pengerusi daripada 10 anggota yang menang pada pemilihan negeri.
"Saya tidak akan mengumumkan pimpinan negeri, kerana saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan," kata Vigneswaran.
Perhimpunan itu tamat pada pukul 6 petang.

