Laporan: Pemilihan PKR kandas lagi oleh undi hilang
PEMILIHAN PKR | Pemilihan PKR sekali lagi terganggu apabila kejadian undi hilang berlaku kali kedua di Perak hari ini.
Menurut laporan NST, kira-kira 100 undi hilang di cabang PKR Ipoh Barat, yang menyebabkan pengiraan keputusan undian di negeri itu terpaksa dihentikan.
"Kira-kira 470 pengundi hari ini hadir dan 12 undi ragu direkodkan, maka hanya 458 undi yang perlu dikira.
"Bagaimanapun, daripada 458 undi itu, hanya 356 undi dapat dimasukkan dalam sistem di ibu pejabat," kata Ketua Pengawas Pusat Pemilihan PKR Mohd Hatta Marzuki.
Mohd Hatta memberi jaminan bahawa perkara itu sedang ditangani dan keputusan akhir pemilihan di Perak akan diumumkan malam ini.
Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa memperoleh 6,700 undi di Perak berbanding lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memperoleh 4,359 undi.
Kejadian undi hilang ini merupakan kali kedua berlaku sepanjang pemilihan PKR.
Terdahulu, dilaporkan kira-kira 2,000 undi hilang di Negeri Sembilan dan Melaka.
PKR masih mempertimbangkan sama ada perlu mengadakan pemilihan semula di kesemua cabang atau bahagian tertentu di dua negeri itu.


