PEMILIHAN PKR | Proses pengundian PKR Ampang yang sepatutnya dimulakan pukul 10 pagi tadi tertangguh hampir sejam akibat masalah teknikal.

Menurut calon tunggal ketua PKR Cabang Ampang Zuraida Kamaruddin, kelewatan itu disebabkan masalah pada tablet yang dibawa dari Tapah.

“Nampaknya tab itu dibawa dari Tapah. Apabila di sini, ia kena buat (tetapan) Ampang.

“Tapi apabila hendak masuk (sistem) tak boleh. Jadi kena selaraskan dengan pusat untuk diperbetulkan. Itu yang lambat sikit,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi di Dewan Nusa Bakri, Ampang.

Disebabkan tiada pencabar, Zuraida kekal mengetuai cabang itu untuk penggal 2018 hingga 2021.

Biarpun proses mengundi tertangguh sebelum dapat dilangsungkkan 10 minit sebelum jam 11 pagi, Zuraida berkata keadaan tetap terkawal.

“Mereka semua pengundi saya, semua kenal saya. Jadi dengan adanya saya di sini, keadaan bokeh terkawal.

“Kalau ada yang nak naik marah pun, saya pujuk-pujuk mereka,” katanya lagi.

Zuraida yang juga merupakan calon naib presiden PKR berada di pusat pengundian berkenaan sejak awal pagi tadi lagi membantu melicinkan proses pengundian.

“Saya dah aturkan supaya tak serabut. Macam saya buat dua pintu, satu untuk orang biasa dan satu untuk orang kurang upaya dan warga emas.

“Kita juga ada stesen-stesen. Jadi walaupun tempat tak besar, apabila teratur, akan jadi kemas sikit,” tambahnya lagi.

Proses pengundian dijangkakan berakhir pada pukul 5.50 nanti.

Ada sistem tak berfungsi

Sementara itu Bernama melaporkan berlaku sedikit kekecohan di cabang Kuala Selangor disebabkan masalah paa sistem e-undi.

Menurut Bernama anggota PKR yang hadir di Stadium Tertutup Kuala Selangor sejak jam 8 pagi ini tidak berpuas hati apabila masih gagal mengundi tiga jam kemudian.

Keadaan bagaimanapun dapat dikawal oleh petugas selain kehadiran ramai anggota keselamatan yang mengawasi keadaan.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Azmira Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata sistem e-undi mengalami masalah teknikal.

"Sekarang ini kami sedang berbincang dengan kesemua enam calon sama ada mahu teruskan atau tidak jika sistem masih gagal berfungsi.

"Kami bagi tempoh sehingga pukul 11 pagi dan jika masih bermasalah, kena tangguh kepada tarikh dan tempat lain," katanya.

Sementara itu, proses pemilihan PKR Tanjong Karang tergendala selama 40 minit apabila sistem e-undi menghadapi masalah teknikal.

Setiausahanya Raja Shahmirulzaman Raja Badakozaman berkata e-undi tidak dapat membaca kad pengenalan anggota PKR yang datang mengundi untuk memilih kepimpinan di peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat.

"Tapi keadaan balik seperti normal dan anggota dapat mengundi kira kira pukul 10 pagi," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan peratusan pergi mengundi sejumlah 40 peratus daripada 3,414 pengundi di Tanjong Karang.