WARISAN nasihat tukang fitnah minta maaf pada tuhan
Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking menasihatkan pihak yang menuduh parti itu didominasi kaum tertentu serta mengaitkannya dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) agar memohon maaf kepada tuhan kerana mereka berbohong kepada rakyat dan memfitnah.
“Parti Warisan kini diserang disebabkan parti ini kian kuat. Sesetengah parti di Sabah ini (menyerang WARISAN) kerana mereka bimbang dengan sikap atau pemikiran orang Sabah yang sudah melangkaui sifat perkauman.
"Orang Sabah tahu, semakin anda bersifat perkauman, semakin anda tidak akan ke mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas menerima kemasukan 40 bekas anggota PBS Tanjung Aru dan Kota Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.
Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata parti tertentu sengaja menanamkan persepsi negatif terhadap WARISAN apabila mengaitkan parti itu dengan kaum tertentu dan PATI.
Katanya fitnah tersebut dibuat kerana pihak terbabit bimbang mereka tidak lagi relevan sekali gus memaksa parti dan pemimpin parti-parti berkenaan bersara dari politik.
Justeru, katanya, rakyat tidak wajar mempercayai atau terpengaruh dengan dakyah dan difitnah parti-parti pembangkang berkenaan kerana pemimpin parti berkenaan sebahagiannya anggota dewan undangan negeri atau anggota parlimen yang bersenang-lenang menikmati pencen, gaji dan elaun sedangkan rakyat tidak dapat apa-apa.
Mengenai kenyataan sebelum ini bahawa beliau akan meletak semua jawatannya jika terbukti WARISAN memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada PATI, Darell menegaskan parti yang membuat tuduhan perlu tampil membawa bukti.
Katanya, WARISAN menentang sebarang usaha memberi kad pengenalan kepada PATI dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal amat konsisten dengan perkara itu.
Katanya pemimpin WARISAN juga bersetuju untuk menghentikan kemasukan PATI ke Sabah.
Malah katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis juga menangkap ramai kakitangan awam yang disyaki mengeluarkan kad pengenalan kepada PATI demi kepentingan peribadi.
- Bernama

