PEMILIHAN PKR | Rafizi Ramli menang dalam persaingan ketua cabang Pandan tetapi gagal merapatkan jurang dalam perebutan jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi bagi jawatan ketua cabang, bekas anggota parlimen Pandan itu mendapat 566 undi berbanding pencabar lain iaitu Haniza Mohd Talha (405), Nor Hayati Haron (353), dan Mohamad Shauki Mohd Kashim (71).
Namun lebih banyak anggota PKR di cabang itu yang memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbanding beliau untuk kerusi nombor dua parti.
Azmin - pengerusi PKR Selangor dan bekas menteri - mendapat 715 undi berbanding Rafizi yang mendapat 508 undi.
Rafizi juga ketinggalan - dengan perbezaan yang jauh lebih besar - di cabang Ampang - di mana Zuraida Kamaruddin, iaitu antara pemimpin utama yang dikaitkan dengan Azmin, menyandang jawatan ketua cabang.
Menurut keputusan tidak rasmi, Azmin mendapat 1,151 undi di sana berbanding Rafizi yang hanya mendapat 178 undi.
Perbezaan 973 undi itu lebih besar daripada perbezaan keseluruhan sebuah negeri, iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Perlis atau Kedah.
Namun majoriti besar yang dinikmati Azmin di Ampang dikurangkan dengan kemenangan Rafizi di Perak semalam, di mana beliau mendapat 61 peratus daripada undi dan kelebihan 2,341 undi.
Kiraan akhir masih belum jelas kerana kiraan untuk pusingan terakhir pengundian di Selangor masih berjalan.
Sementara itu, pemimpin dalam kem Rafizi iaitu Rodziah Ismail tewas dalam persaingan bagi ketua cabang Shah Alam.
Rodziah, yang turut bertanding jawatan ketua Wanita, mendapat 599 undi berbanding Yaakob Sapari yang mendapat 663 undi. Dua lagi calon adalah Tengku Ahmad Tengku Kasim (206) dan Adnan Jamburi (158).

