Tren Ekspres Wau yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur membawa 700 penumpang tergelincir daripada landasan di KM 102.25 antara Mentakab-Mengkarak pada 2.15 pagi Jumaat.

Bagaimanapun Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dalam satu kenyataan berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu. Punca kejadian masih disiasat.

Semua penumpang terbabit meneruskan perjalanan dari Mentakab ke Kuala Lumpur dengan bas yang disediakan KTM.

Menurut kenyataan itu kejadian tersebut telah menjejaskan dua jadual perkhidmatan KTM iaitu perkhidmatan Ekspres Timuran Singapura-Tumpat dan perkhidmatan Ekspres Timuran Tumpat-Singapura.

Menurut laporan Bernama, KTM telah menyediakan bas bagi membolehkan penumpang kedua-dua perkhidmatan yang tergendala itu meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

Bagi penumpang Ekspres Timuran Singapura-Tumpat, mereka dibawa menggunakan 13 buah bas dari stesen Gemas ke stesen Mentakab untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren ke stesen Tumpat dan stesen perantaraannya.

Penumpang Ekspres Timuran Tumpat-Singapura pula dibawa menggunakan 13 buah bas dari stesen Mentakab ke stesen Gemas bagi meneruskan perjalanan menggunakan tren ke Singapura dan stesen perantaraannya.

KTM menjangka perkhidmatan tren di laluan terbabit akan pulih sepenuhnya pukul 7 pagi esok.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat terkini boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200 atau stesen yang berhampiran.