Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee: Bahasa Melayu mesti dimartabat
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 8:17 AM
Dikemaskini: 12:17 AM

Kementerian Pendidikan tidak akan berganjak daripada meneruskan perjuangannya meletakkan bahasa Melayu di tempat yang hak sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata perhatian dan tanggungjawab kepada bahasa Melayu tidak akan diabaikan dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa lain untuk memenuhi keperluan semasa dan akan datang.

“Saya berharap semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini dapat bersama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha menyeimbangkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar.

“Penguasaan bahasa yang seimbang ialah menguasai bahasa Melayu dengan fasih dan cekap dan pada waktu yang sama menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ketiga dengan baik,” katanya ketika berucap pada pertandingan akhir Pidato Piala Menteri Pendidikan 2018 di Universiti Tenaga Nasional di Bangi malam tadi.

Jelas Maszlee, pertandingan pidato peringkat institusi pengajian tinggi mampu melahirkan graduan yang bermutu bukan sahaja dari sudut akademik tetapi kemahiran berfikir, menganalisis dan berhujah dengan berhemah.

Pemidato dari Universiti Islam Antarabangsa Muhammad Syahmi Akif Jamili dinobatkan johan pertandingan tersebut.

Sementara pemidato Universiti Teknologi Mara, Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto muncul naib johan.

Kedua-duanya akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Disember depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS