Walaupun Kelantan boleh dianggap antara negeri paling miskin, kerajaan pusat tidak wajar "menghina" negeri tersebut, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga bekas presiden Umno juga tampil membela Kelantan yang ditadbir PAS itu dengan berpendapat tidak wajar Putrajaya menyerang negeri berkenaan secara berterusan.

"Saya rasa tidak adil dan kurang senang dengan serangan tidak henti hampir setiap hari daripada menteri DAP terhadap kerajaan Kelantan sejak minggu lalu," katanya melalui hantaran di media sosial semalam.

Terbaru, katanya, serangan dibuat anggota parlimen dari Pulau Pinang yang mengeluarkan kenyataan bahawa hutang kerajaan Kelantan sebanyak RM1.4 bilion pada 2016.

Najib juga berkata beliau tidak tahu apakah tujuan Putrajaya mendedahan surat-surat sulit daripada kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat.

"Ya, tak dapat dinafikan Kelantan adalah antara negeri paling miskin pada ketika ini tetapi ini (berlaku) ekoran tindakan kerajaan BN terdahulu (semasa) di bawah perdana menteri keempat (Tun Dr Mahathir) menghentikan projek-projek pembangunan dan keperluan asas kerana ia jatuh di bawah kepimpinan parti lain pada 1990, sehingga tiada satupun lebuhraya atau infrastruktur air bersih yang sempurna di negeri itu.

"Kerana faktor ini, sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan negeri adalah terbantut," katanya.

Macam mana dengan P Pinang

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng - selepas dicabar - menunjukkan surat daripada pegawai kewangan Kelantan yang memohon bantuan pinjaman daripada Putrajaya untuk membantu membayar gaji kakitangan awam negeri berkenaan.

Langkah itu bagaimanapun tidak disenangi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap Lim tidak memiliki moral yang baik.

Semalam juga Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menulis mengenai prestasi ekonomi Kelantan serta hutang yang ditanggung negeri terbabit. 


Baca Macam berdosa pulak bercakap benar, kata Guan Eng


Kata Najib sebelum ini pun Lim mengesahkan Pulau Pinang pernah mendapat manfaat daripada kerajaan BN - yang ketika itu masih menjadi kerajaan pusat - apabila membantunya menurunkan hutang negeri berkenaan sebanyak 90 peratus.

"Selain bantuan tunai yang lain, kerajaan pusat juga memberi geran sebanyak RM1.3 bilion kepadanya bagi menaikkan kapasiti Empangan Mengkuang.

"Adakah kerajaan BN memperlekeh dan bertanya mengapa negeri yang kaya tidak dapat menampung keperluan air sendiri?

"Maka, apa keperluan kerajaan pusat menghina Kelantan yang kadangkala memerlukan pertolongan - terutamanya selepas banjir yang teruk akhir tahun 2014?" katanya lagi.

Menurut Najib pada akhir 2007 - sebelum DAP mengambil alih Pulau Pinang - negeri itu adalah negeri kedua terkaya di Malaysia dengan Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapitanya sebanyak RM31,039 berbanding RM6,943 untuk Kelantan.

"Ini bermaksud harga tanah di Pulau Pinang jauh lebih bernilai berbanding Kelantan dan DAP mampu memilih jalan mudah untuk menjual tanah kerajaan seperti satu penjualan seluas 102 ekar tanah di Bayan Mutiara sahaja pada tahun 2012 dan memperolehi RM1.07 bilion.

"Beribu-ribu hektar tanah dan hak tanah kerajaan Pulau Pinang telah dijual ataupun ditukar sejak DAP mengambil alih.

"Kelantan tidak mempunyai jalan mudah yang sama," katanya.

Semasa menjadi perdana menteri kata Najib beliau banyak menyalurkan peruntukan bagi memperbetul dan membangunkan Kelantan.

Kesannya kata ketua Umno Pekan itu Kelantan dapat mengurangkan defisit setiap tahun dan KDNK negeri berkenaan naik 95.8 peratus (pada 2008) kepada RM13,593 (akhir 2017)

Bagi tempoh sama kata Najib KDNK Pulau Pinang naik hanya 60.6 peratus.

Justeru katanya perkembangan ekonomi Kelantan pada tempoh itu lebih tinggi berbanding Pulau Pinang.

"Rakyat Pulau Pinang ialah rakyat Malaysia. Rakyat Kelantan juga rakyat Malaysia.

"Negeri yang kurang pembangunan patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan pusat - bukan dihina dan diperlekehkan dengan berterusan," katanya.