PARLIMEN | Kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan Cawangan Khas (SB) yang menjadi sebahagian daripada komponen pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini tiada bukti kukuh menunjukkan SB - atau mana-mana jabatan lain dalam PDRM - disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.
"Namun sekiranya ada bukti menunjukkan mana-mana pegawai polis atau mana-mana pegawai awam lain terlibat menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan tertentu, tindakan tegas akan diambil," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Penjelasan itu dibuat sebagai menjawab soalan Pang Hok Liong (HARAPAN-Labis) yang bertanya mengenai status SB di bawah kerajaan baru.
Pang bertanya sama ada benar atau tidak SB disalah guna oleh BN semasa parti itu menjadi kerajaan untuk melindungi dan mengekalkan kuasa mereka.
"Adakah kerajaan merancang untuk membubarkan SB dan bila?" katanya.
Menurut KDN, PDRM ialah sebuah agensi keselamatan yang profesional menjalankan tugasnya mengikut bidang kuasa diperuntukkan undang-undang.
"Dengan mengambil kira kepentingan agensi perisikan termasuk SB dalam memelihara kepentingan keselamatan negara, tidak timbul isu SB perlu dibubarkan," katanya.
