PKR dah macam BN, kena tunggu laporan baru nak siasat - Zuraida
PEMILIHAN PKR l Ketua Wanita Ampang Zuraida Kamaruddin berkata pemimpin parti harus lebih proaktif dalam menangani tuduhan politik wang dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung.
Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Zuraida membidas kenyataan Jawatankuasa Aduan, Rayuan dan Disiplin PKR, Syed Husin Ali semalam yang berkata bahawa tiada tindakan boleh diambil kecuali aduan rasmi dibuat.
“Sekarang PKR dah macam kerajaan BN dulu, kena tunggu laporan baru nak siasat.
“Jawatankuasa kena bertanggungjawab menyiasat dan menyelesaikannya,” katanya yang juga adalah Ahli Parlimen Ampang.
Zuraida, yang mempertahankan jawatan ketua bahagian Ampang tanpa saingan, juga menegaskan bahawa jawatankuasa itu perlu bertindak berdasarkan laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku sejak pemilihan PKR bermula.
“Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kata tidak terima laporan rasmi berhubung kes terbabit sedangkan media sudah melaporkan manakala SPRM turut melakukan penahanan.
"Itu bukan caranya," katanya.
Selain daripada politik wang, Zuraida berkata, pemimpin PKR bertanggungjawab juga perlu mengambil tindakan terhadap cubaan "sabotaj" seperti penemuan ‘ alat jammer’ di lokasi pemilihan di Cabang Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.
"Ini adalah sabotaj yang jelas. Ini sangat serius.
“Insiden itu boleh merosakkan keseluruhan sistem kerana sabotaj yang berlaku menyebabkan proses pemilihan jawatankuasa semakin kritikal,” kata Zuraida.
Pemilian melalui sistem e-undi di Kuala Selangor, semalam, tidak dapat dilaksanakan susulan tiada capaian internet.

