Kelantan masukkan royalti minyak dalam bajet 2019
DUN KELANTAN | Kerajaan negeri Kelantan memasukkan royalti minyak yang disebut sebagai “token” dalam Belanjawan 2019.
Menteri besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu akan menjadi “bekas” sebagai “tadahan” wang royalti.
"Insya-Allah kita berdoa belanjawan tahun depan akan berubah. Terutamanya kita yakin duit royalti akan diberikan oleh kerajaan persekutuan.
"Apabila duit royalti masuk kita akan masukkan dalam bajet. Itu bergantung kepada jumlah yang akan dibayar kepada kita.
"Dalam Belanjawan 2019 ada kita masukkan royalti sebagai token, supaya kita ada 'bekas' untuk kita letak jika royalti dibayar," katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan Kelantan 2019 di Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal pertama di Kota Bharu, hari ini.
Setelah pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Maharhir Mohamad, kerajaan Kelantan kelihatan amat yakin akan memperoleh royalti tersebut yang telah bertahun-tahun dituntutnya.
Selama ini, mereka hanya disalurkan “wang ehsan” secara langsung melalui kerajaan pusat.
Defisit belanjawan RM35.07 juta
Sementara itu, belanjawan negeri pada tahun depan merupakan belanjawan defisit yang dijangka berjumlah RM35.07 juta berbanding Belanjawan 2018 yang defisit RM41.74 juta.
"Jumlah defisit ini menurun sebanyak RM6.67 juta atau 16 peratus. Desifit belanjawan negeri menurun secara konsisten dalam tempoh empat tahu kebelakangan ini sejak 2015.
"Asas penurunan defisit ini adalah pertambahan jumlah kutipan hasil yang disokong dengan urus tadbir yang baik diamalkan oleh jentera kerajaan negeri.
"Pengurangan defisit ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemah dan mengikut keutamaan kerajaan serta dibuat selari dengan anggaran pendapatan tahun 2019," katanya.
Sementara itu Ahmad yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, belanjawan 2019 yang bertemakan Kemakmuran Negeri Kesejahteraan Rakyat itu memperuntukkan sejumlah RM1.09 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemah.
"Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada projek-projek atau program yang sekali gus merangsang kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat," jelasnya.
Justeru tambah beliau, anggaran hasil negeri pada 2019 pula dijangka memperoleh sebanyak RM743.71 juta.
"Ia meliputi hasil cukai RM207.01 juta, hasil bukan cukai RM392.6 juta dan teriman bukan hasil sebanyak RM144.1 juta.
"Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM46.81 juta berbanding anggaran hasil tahun 2018 sebanyak RM696.9 juta, " jelas Ahmad.

