Jangan ulang kesilapan BN benarkan operasi Lynas, kata MP
DEWAN RAKYAT | Anggota Parlimen Bentong Wong Tack menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu yang membenarkan Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Kuantan untuk terus beroperasi.
Gesaan itu susulan laporan Reuters hari ini bahawa syarikat nadir bumi dari Australia itu telah mendapatkan lanjutan permit sementaranya untuk menyimpan sisanya di Malaysia.
"Kalau kesilapan (kerajaan) dulu mungkin kerana ignorance (jahil), tetapi kita sebagai pemimpin era baru jika masih mengulangi kesilapan sama, ini namanya tamak dan tidak bertanggungjawab.
"Isu Lynas ini dekat dengan jutaan rakyat Malaysia, yang berhimpun dan melaungkan hentikan Lynas. Oleh itu jangan kita sesekali lupakan janji dan khianati harapan rakyat," katanya ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMK-11) hari ini.
"Saya harap apa juga keputusan yang dibuat mestilah mempertimbang kesejahteraan anak dan cucu kita," kata aktivis alam sekitar itu lagi.
Wong Tack juga sekali lagi mengulangi pendiriannya terhadap Lynas, apabila menggesa kilang itu ditutup kerana syarikat itu "telah meninggalkan 1.5 juta tan metrik sisa buangan sepanjang enam tahun beroperasi" di negara ini.
"Daripada jumlah itu, satu per tiga sisa radioaktif WLP (water leach purification), mengandungi thorium dan uranium," katanya lagi.

