DUN KELANTAN | Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM2.2 juta dalam usaha memberi kesejahteraan kehidupan rakyat melalui program-program bina insan.

Dalam Teras Keempat Belanjawan Kelantan 2019 itu kata, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, peruntukan itu disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri merangkumi Program Bina Ummah dan Program Cakna Rakyat.

"Sebanyak RM320,000 diperuntukan kepada Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK), RM300,000 untuk Institut Pemikiran Tok Guru dan RM100,000 bagi Institut Latihan Perguruan Kelantan.

"Rakyat dan ulama berpisah tiada. Inilah antara resipi kesejahteraan rakyat Kelantan. Program membina generasi ulama diteruskan menerusi YTK, manakala program pembinaan jati diri peserta Ladang Rakyat diteruskan," katanya ketika pembentangan belanjawan pada Persidang Ketiga DUN bagi penggal pertama di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Ahmad dalam pembentangan tersebut mengumumkan belanjawan Kelantan pada tahun depan merupakan belanjawan defisit dijangka berjumlah RM35.07 juta.

Sementara itu, anggota dewan undangan negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berkata, kerajaan negeri turut memberi komitmen melalui program Kelantanku Bersih, Kelantanku Ceria dengan peruntukan RM11.6 juta.

Katanya, sebanyak RM6 juta diperuntukan bagi program kebersihan dan kecerian, RM700,000 untuk pengindahan bandar dan pekan serta RM300,000 bagi kebersihan awam.

"Sebanyak RM1 juta pula diperuntukan bagi pembinaan taman awam dan RM600,000 bagi pembinaan kemudahan suka dan rekreasi," jelasnya yang juga exco tanah, sumber asli, perancangan ekonomi dan kewangan

Berikut antara lain inisiatif yang disediakan kerajaan negeri Kelantan sempena Belanjawan 2019:

- RM1 juta kepada prasarana material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II
- RM1.28 kepada Jabatan Pendakwaan Syariah
- RM114.5 juta bagi peruntukan bidang pendidikan
- RM46.55 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan
- RM9.5 juta bagi program rumah mampu milik.