Icerd: Pemimpin Umno diundang dengar penjelasan
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengundang Dr Asyraf Wajdi bertemu dengannya bagi mendengar penjelasan berhubung Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (Icerd) Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Sila datang,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada ketua Pemuda Umno.
“Saya terbuka memberitahu mereka apa realiti sebenarnya supaya tidak menjadi buah mulut dan akhirnya tular dan menimbulkan kebencian dalam negara ini.”
Asyraf, Khamis lalu dilaporkan berkata Icerd bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan membelakangi Majlis Raja-raja Melayu.
Katanya, takrif, definisi dan skop diskriminasi kaum bawah Icerd sangat luas dan segala perkara dianggap diskriminasi, termasuk hak istimewa, perlu dihapuskan.
Bercakap dalam sidang media di lobi parlimen, Mujahid berkata hak bumiputera tidak akan terjejas kerana Icerd "tidak akan mengubah apa yang termaktub dalam perlembagaan".
"Ini bermakna jikalau kita menandatangani atau melakukan ratifikasi ICERD, ia tidak akan mengubah apa yang sudah sedia ada diamalkan, kecuali apa-apa undang-undang yang berkaitan mesti dibawa ke parlimen," katanya.
Isu hak keistimewaan bumiputera tular sejak seminggu lalu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata kerajaan akan menandatangani Icerd dalam suku pertama tahun hadapan.
Beliau bagaimanapun kelmarin memberi jaminan kerajaan tidak akan tergesa-gesa dan akan berbincang dengan semua pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu.

