Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Nahas ketiga pesawat komersial dalam 10 tahun di Indonesia
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 7:09 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Nahas udara yang berlaku di perairan Karawang, Indonesia hari ini adalah insiden ketiga melibatkan pesawat komersial terhempas di republik berkenaan dalam tempoh 10 tahun ini.

Nahas pesawat milik Lion Air itu adalah ketiga selepas kejadian pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah 28 Dis 2014, mengorbankan semuanya.

Sebelum itu, pada 13 April 2013, pesawat komersial milik Lion Air terhempas ketika dipandu oleh juruterbang baharu menjadi punca pesawat dipandunya terbabas ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali. Semua 108 penumpang dan kru pesawat itu terselamat.

Dalam kejadian malang pada awal pagi tadi, pesawat Lion Air jenis Boeing MAX 8 yang membawa 181 dan lapan anak kapal, adalah sebuah pesawat baharu yang memulakan operasi penerbangan pada 15 Ogos lepas.

Pesawat penerbangan JT610 itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S - 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pukul 7.10 pagi waktu Indonesia Barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Sehingga berita ini ditulis, belum ada pengumuman rasmi senarai dan jumlah korban meskipun dikhuatiri semua penumpang dan anak kapal terkorban. Bangkai pesawat Lion Air itu juga masih belum ditemukan.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata belum dapat dipastikan sekiranya ada rakyat Malaysia turut terbabit.

Sebelum ini, antara beberapa insiden nahas udara yang berlaku di republik itu adalah:

12 Ogos 2018 – Pesawat kecil PAC750 XSTOL milik Dimonim Air yang membawa enam penumpang, seorang juruterbang dan seorang pembantu juruterbang terhempas di kawasan Pergunungan Bintang, Provinsi Papua, mengorbankan kesemua mereka.

3 Dis 2016 – Pesawat jenis Cassa milik Polis Indonesia yang membawa 13 pegawai kanan termasuk tiga juruterbang terhempas di perairan dekat daerah Lingga, Kepulauan Riau di Sumatera.

28 Nov 2016 – Sebuah helikopter jenis Bell 412 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) yang terhempas di kawasan hutan bukit Malinau, Kalimatan Utara mengakibatkan tiga pegawai terkorban.

4 Jun 2016 – Helikopter jenis Bell 206 milik syarikat PT Amur terhempas di daerah Nabire, wilayah Papua di timur Indonesia menyebabkan empat orang maut.

20 Mac 2016 – Helikopter jenis 412 EP milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat membawa 13 anggota tentera terhempas dipercayai akibat disambar petir di Poso, Sulawesi Tengah. Semua penumpang dan juruterbang terkorban.

10 Feb 2016 – Pesawat EMB-314 Super Tucano milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) terhempas di kawasan perkampingan Blimbing, Kota Malang, Jawa Timur menyebabkan tiga maut termasuk dua orang awam.

1 Julai 2015 – Pesawat Hercules C-130 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia terhempas di kawasan perumahan awam di Medan, utara Sumatera mengorbankan lebih 140 nyawa.

28 Dis 2014 – Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah selepas hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura. Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada 5.30 pagi (waktu Surabaya) sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi (waktu Surabaya). ?Pesawat yang membawa 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi. Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat itu mengambil masa hampir dua bulan.

8 Nov 2013 – Helikopter MI-17 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), yang terhempas dan terbakar di kawasan Malinau, Kalimantan Utara dekat sempadan Indonesia-Malaysia, mengorbankan 13 penumpang.

13 April 2013 – Sebuah pesawat Lion air terhempas ketika ia dipandu oleh juruterbang baharu menjadi punca pesawat yang dipandunya terbabas ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali. Bagaimanapun, kesemua 108 penumpang dan krew pesawat Lion Air itu terselamat dalam nahas, yang menyaksikan pesawat Boeing 737-800 terbelah dua.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS