Anwar terima teguran BERSIH, tapi...
Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima kritikan BERSIH berhubung kesalahan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang dikaitkan dengannya.
Bagaimanapun, Anwar berkata beliau akan melihat setiap kesalahan yang direkodkan itu secara spesifik.
“Saya sambut baik teguran dia (BERSIH) dan kita akan tengok secara spesifik apa dia (kesalahan itu).
“Katalah majlis yang M Nasir dan beberapa kawan saya buat, saya hanya dijemput untuk hadir.
“Jadi saya tak tahu macam mana salah saya, saya dijemput dan saya hadir pun kejap saja. Dengar lagu yang saya minat satu, dua, habis saya baliklah.
“Kemudian ada jamuan yang saya hadir pun saya pergi dijemput, di kuil Cina ke, India ke bukan saya yang anjur,” katanya yang ditemui di lobi parlimen hari ini.
BERSIH pada 26 Oktober lalu merekodkan 10 kesalahan dan salah laku pada PRK Port Dickson membabitkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PAS.
Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Yap Swee Seng, berkata kesalahan itu dikesan hasil pemantauan pada hari pencalonan, sepanjang kempen pilihan raya, pengundian awal, hari mengundi dan proses pengundian.
Katanya, daripada jumlah itu, enam kes membabitkan calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala empat lagi dilakukan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar.
Kata Yap, pemantau Bersih 2.0 mendapati Anwar juga berkempen di konsert percuma dan dua majlis makan malam, namun tidak jelas pihak yang membayar untuk acara itu.
Yap turut menjelaskan bahawa berdasarkan Seksyen 15A, Akta Kesalahan Pilihan Raya, perbelanjaan acara atau apa-apa majlis yang dianjurkan perlu dilaporkan dalam akaun calon dan had perbelanjaan pilihan raya bagi setiap calon parlimen adalah RM200,000.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau sedia untuk berbincang cadangan BERSIH untuk perketat peraturan pilihan raya.
“Saya perhati dan kalau betul kita kena bincang untuk perketatkan peraturan-peraturan tersebut, sebab saya rasa tak salah.
"Umpama saya pergi satu majlis dengan masyarakat Cina dan dia (penganjur) ada 10 hingga 20 NGO yang taja makanan. Saya pergi tapi tak sempat makan pun. Saya pergi 20 minit kemudian saya balik,” tambahnya.

