Tujuh cabang PKR di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan akan mengadakan pemilihan semula pada 11 Nov.

Tujuh bahagian itu menurut laporan Berita Harian adalah: Kuala Selangor, Jelebu, Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka, dan Jasin.

Pengarah Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din dipetik sebagai berkata bahawa Kuala Selangor dan Jelebu akan mengadakan pemilihan semula bagi semua anggota parti.

Bagi lima cabang yang lain di Melaka, hanya anggota yang sudah mengundi akan dipanggil untuk mengundi semula.

Rashid juga berkata JPP akan membuat persiapan bagi memastikan masalah sama tidak berulang dalam pemilihan seterusnya.

“Banyak yang kami belajar daripada lebih 12 pemilihan negeri yang sudah berlangsung dan setiap kelemahan kami cuba perbetulkan. Kami belajar daripada kesilapan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Berhubung dakwaan sabotaj yang berlaku pada pemilihan Kuala Selangor, Rashid berkata kejadian itu adalah dikesalkan.

Katanya, polis masih menyiasat kes berkenaan dan tindakan disiplin akan diambil ke atas anggota PKR yang didapati terlibat.

“Berdasarkan kes di Kuala Selangor itu, kami tidak menolak kemungkinan beberapa kes internet bermasalah di tempat pengundian pemilihan parti di tempat lain berkaitan dengan masalah yang sama, ada pihak meletakkan ‘jammer’ ini

“Untuk pemilihan di tujuh lagi cabang nanti, kami akan pastikan tiada lagi “jammer” ini dipasang,” katanya.

Rashid juga mendedahkan taktik kotor lain seperti menggunakan semula Quick Response Kod (QRKod) untuk pemilihan di cabang Ampang dan Pandan, yang bagaimanapun berjaya dikesan dan anggota berkenaan tidak dibenarkan mengundi.

Sementara itu, berhubung pengundian di Sabah dan Sarawak, jelas Rashid, ia akan diteruskan seperti yang sudah ditetapkan iaitu di Sabah pada 3 dan 4 November ini manakala di Sarawak pada 10 November.

PKR satu-satunya parti politik di Malaysia yang membenarkan semua anggotanya mengundi pimpinan pusat. Proses pemilihan parti itu bagaimanapun menghadapi pelbagai masalah termasuk dakwaan beli undi dan masalah teknikal dengan sistem e-undi.