Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekecohan pemilihan PKR di Tanjong Karang: Polis tahan 7 orang
Diterbitkan:  Oct 30, 2018 11:05 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

PEMILIHAN PKR | Polis menahan tujuh orang berkaitan kejadian kekecohan semasa pemilihan cabang PKR di Tanjong Karang pada Ahad lalu.

The Star memetik Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Mohd Asri Abd Wahab berkata suspek berusia di antara 19 ke 49 tahun ditahan pada hari yang sama.

"Perbalahan terjadi pada jam 3.30 petang antara dua kumpulan yang menyokong dua calon.

"Kedua-dua pihak mengancam antara satu sama lain. Bagaimanapun, tiada senjata yang digunakan dan tiada kecederaan serius dilaporkan, "kata Mohd Asri.

Beliau juga berkata empat laporan polis dibuat dan tujuh suspek kemudian menyerah diri.

"Penangkapan itu dibuat antara jam 9 malam dan 10.30 malam ketika tujuh suspek menyerah diri di ibu pejabat polis daerah," kata Mohd Asri semalam.

Kesemua tujuh suspek disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan ugutan jenayah.

Dalam fasa pengundian ketiga dan terakhir di Selangor semalam, ketegangan tercetus di beberapa cabang PKR selepas pengundian bermula lewat dari jadual asal pada jam 10 pagi, termasuk di cabang Tanjong Karang.

Sementara itu, The Star turut memetik Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din yang berkata tujuh orang yang ditangkap pada 21 Oktober lalu kerana didakwa cuba menipu pada pemilihan cabang PKR Petaling Jaya Utara, dibebaskan selepas membayar ikat jamin.

ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang memenangi jawatan Ketua Bahagian PJU tanpa bertanding, pada ketika kejadian memberitahu Malaysiakini bahawa kekecohan tercetus selepas terdapat dakwaan pengundi hantu.


 

Lihat Komen
ADS