Hari kedua sidang DUN Kelantan tanpa Tok Pa
DUN KELANTAN | Wakil tunggal Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed masih tidak kelihatan pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.
Bagaimanapun, Speaker DUN Datuk Abdullah Yaakob memaklumkan bahawa bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu telah menghantar permohonan untuk tidak hadir ke persidangan hari ini kerana menjalani pemeriksaan kesihatan.
Semalam, tokoh politik Kelantan yang lebih mesra disapa sebagai Tok Pa itu turut tidak menghadirkan diri susulan mempunyai urusan "mustahak" di Kuala Lumpur.
Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli menjadi tumpuan khususnya selepas beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 26 Oktober lalu.
Selain mewakili kerusi parlimen Jeli Mustapa juga dipilih menjadi anggota dewan undangan negeri (ADUN) Air Lanas pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.
Penyertaan beliau ke dalam BERSATU menjadikan HARAPAN memiliki wakil tunggal dalam DUN Kelantan.
Untuk rekod HARAPAN kalah di semua kerusi DUN dan parlimen di Kelantan pada PRU ke-14 lalu.

