Umno Jeli akui ada ahli serba-salah dengan Tok Pa
Ketiadaan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam barisan kepimpinan Umno Jeli menjadikan sebahagian ahli 'serba salah', kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik.
Bagaimanapun menurutnya, Umno Jeli masih lagi utuh selepas Mustapa yang juga bekas ketua bahagian parti itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Jumaat lalu.
"Setakat ini alhamdulillah, Umno di Jeli masih lagi utuh, tak banyak perubahan yang berlaku walaupun kita akui bahawa ada segelintir ahli Umno dalam keadaan serba salah dan sebahagian daripada mereka mengikut jejak langkah Mustapa," katanya ketika ditemui di luar dewan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Penyertaan Mustapa ke dalam BERSATU dibuat selepas hampir sebulan beliau meninggalkan Umno.
Ia dilihat memberi tamparan kepada Umno Kelantan memandangkan Mustapa merupakan bekas pengerusi Umno negeri dan antara orang lama dalam politik di negeri itu.
Sementara itu, Mohd Adhan yang juga anggota jawatankuasa Umno Jeli turut mengakui jasa dan sumbangan besar diberikan Mustapa sebagai anggota parlimen dan menteri sebelum ini.
"Memanglah kita kena akui hakikat bahawa banyak perubahan yang berlaku di Jeli adalah dengan hadirnya Tok Pa sebagai ahli parlimen.
"Itu juga kerana beliau pemimpin umno dan jadi sebahagian anggota kabinet. Jadi selaku ahli jemaah menteri, banyak perkara yang beliau lakukan.
"Secara peribadi saya akui beliau banyak lakukan jasa di Jeli, tapi jasa yang ditabur atas kedudukan sebagai pemimpin Umno dan BN, " jelasnya.
Ditanya berhubung sebarang perjumpaan yang diadakan Mustapa dengan anggota Umno bahagian Jeli, Mohd Adhan menjelaskan, perkara itu hanya dilakukan ketika beliau mengumumkan keluar Umno bulan lepas.
"Ada pertemuan besar-besar secara 'ad hoc' ketika mula-mula beliau keluar Umno dan kami di Jeli mengambil sikap terbuka dan mahu mendengar penjelasan daripada beliau sendiri.
"Namun selepas menyertai BERSATU saya difahamkan tiada sebarang pertemuan secara besar-besaran yang dilakukan Mustapa bersama anggota Umno bahagian Jeli," katanya.

