Paling Popular
Terkini

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan kredibiliti ahli Dewan Negara Senator Datuk Husam Musa yang sebelum ini bercakap mengenai keanggotaan jawatankuasa Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Menurut beliau, isu MPKK sudah diselesaikan hasil perbincangan kerajaan negeri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

"MPKK ini sudah lama diselesaikan. Cuma kita minta tukar nama sikit, kita (mahu) guna Majlis Penghulu Mukim (MPN), kita minta kebenaran sebab kita sudah lama rancang.

"Datuk Husam siapa? Dia atas kapasiti apa? Cuma senator, dia dengan kita tiada apa-apa.

"Kita hanya ambil keputusan mesyuarat dengan menteri. Rina serah kepada kerajaan negeri untuk buat pemilihan pelantikan," katanya kepada media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sesi pagi, di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar yang juga ADUN Panchor berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Husam berhubung kelulusan kerajaan persekutuan untuk menambah lima orang daripada 11 anggota MPKK.

Terdahulu, Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) kerajaan pusat bersetuju dengan tambahan seramai lima orang ahli MPKK lantikan kerajaan pusat selain 11 anggota yang dilantik kerajaan negeri menjadikan jumlahnya seramai 16 orang (setiap kampung).

Kekal 11 orang AJK

"Ahli MPKK ini akan berperanan mengggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP) dilihat akan memberi kesan perpaduan dan kerjasama khususnya di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar menegaskan pihaknya tetap mengekalkan anggota agensi komuniti itu dengan 11 orang.

"Kita kekal dengan 11 orang bermula tahun depan, yang itu (tambahan) saya tak tahu. Kita pegang kepada keputusan mesyuarat, selagi tak berubah itulah keputusan kita.

"Kita dah ada calon, kita setiap tahun lihat balik senarai calon, 639 penghulu mukim. Seramai 11 orang ahli jawatankausa mukim dipengerusikan oleh seorang penghulu.

"Salah seorang lagi dilantik sebagai setiausaha, mengikut kementerian setiausaha diberi elaun RM300 sebulan manakala ahli jawatankuasa lain menerima elaun mesyuarat saja," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS