Lanjutan permit Lynas hanya sampai 15 Feb
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menegaskan tempoh lanjutan penstoran sementara bahan buangan terjadual yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd bukanlah tanpa had tempoh seperti yang diumum syarikat itu.
Sebaliknya, jelas kementerian itu, Lynas permit penstoran residu itu hanya dilanjutkan sehingga 15 Februari.
"Jawatankuasa Eksekutif akan mengadakan pendengaran awam di Kuantan pada 11 November 2018 bagi mendengar penjelasan daripada semua pihak berkepentingan termasuk Lynas, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pakar-pakar dalam bidang pengurusan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan sinaran radioaktif.
"Semua keputusan dan penilaian oleh pihak kerajaan akan dibuat secara profesional, objektif, telus dan terbuka," kata kementerian itu dalam kenyataan media hari ini.
Tambah kenyataan itu, tempoh lanjutan bersyarat itu diberikan dengan mengambil kira jangka masa yang diperlukan oleh jawatankuasa eksekutif untuk meneliti secara terperinci dan saintifik semua maklumat, laporan dan pandangan dari pihak yang terlibat dan menyediakan laporan berserta syor kepada kabinet.
Selain itu, ia juga bagi memberi ruang kepada kabinet untuk mempertimbangkan syor jawatankuasa tersebut dan membuat keputusan yang wajar dan adil.
Pada 15 Okt, lalu Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memaklumkan penubuhan LAMP yang bertujuan memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahan tercemar oleh syarikat dari negara lain.
Enam ahli telah dilantik untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan, iaitu Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar; Profesor Pelawat United Nations University – International Institute for Global Health Prof Dr Jamal Hisham Hashim dan Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Maketab Mohamed.
Turut menyertai jawatankuasa tersebut adalah Prof Madya Dr Anita Abdul Rahman dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan,Universiti Putra Malaysia; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang Prof Madya Dr Muzamir Hasan dan bekas Pengarah Bahagian Udara dan Bahan Merbahaya Jabatan Alam Sekitar Malaysia Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Syarikat perlombongan Australia itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berikutan kebimbangan projek itu menjejaskan alam sekitar dan kesihatan.
Bantahan timbul sejak sebelum Lynas diberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30 Jan 2012.
Pada 26 Feb tahun yang sama, aktivis alam sekitar berjaya menghimpunkan ribuan orang membantah Lynas.
NOTA PENGARANG: Laporan ini sudah dikemas kini susulan terdapat fakta yang kurang tepat pada versi sebelum ini. Tempoh lanjutan 15 Feb adalah untuk penstoran Lynas, dan bukannya Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi dan Pengurusan Residu Lynas. Segala kesulitan amat dikesali.

