Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nazri pelawa Mukhriz, Dr M kembali ke pangkuan Umno

Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata tidak pernah terdetik di hatinya untuk keluar Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Sebaliknya, bekas menteri pelancongan itu berkata apa yang terlintas di fikirannya kini adalah untuk mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kembali ke pangkuan Umno.

“Tidak pernah terfikir dan terlintas di hati saya untuk tinggalkan Umno dan masuk BERSATU.

“Tetapi saya akan buat pelawaan secara terbuka untuk bawa beliau (Mukhriz) dan bapanya (Mahathir) untuk masuk Umno, sebab Umno ini parti Melayu,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas larangan terhadap dirinya untuk menyertai BERSATU.

Semalam, Mukhriz berkata BERSATU bersedia menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti itu, namun tidak terbuka untuk menerima beberapa pemimpin Umno, termasuk Nazri.

Turut dinamakan ialah  bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, penggantinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.


[Baca: Najib, Zahid, Azeez, Nazri tak boleh dan tak payah, kata Mukhriz]


'Umno boleh lindungi masa depan Mukhriz'

Mengulas lanjut, Nazri berkata pelawaan itu dibuat kepada Mukhriz kerana hanya Umno sahaja dapat memberi 'perlindungan' bagi masa depan politik kepada menteri besar Kedah itu.

“Saya tengok BERSATU ini mungkin tidak ada masa depan sebab pemimpin mereka ialah Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Kalau mereka berdua ini berundur, sudah tidak ada kepimpinan dalam BERSATU, sebab itu saya pelawa Mukhriz masuk Umno dan beri perlindungan dalam Umno.

“Dulu masa beliau (Mukhriz) bertanding naib presiden (Umno) pun saya sokong beliau. Umno Padang Rengas pun bagi undi pada beliau,” katanya.

Sebaliknya Nazri mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba mencuri wakil rakyat Umno yang disifatkan sebagai mempunyai  'muslihat' tertentu.

“Kalau dalam keadaan sekarang mereka (HARAPAN) kerajaan yang kukuh lebih 111 kerusi, yang nak berusaha sangat nak curi ahli parlimen Umno ini ada apa-apa muslihat ke?

“Kita telah bersetuju supaya bagi kita tidak boleh ambil runcit-runcit. Curi satu-satu wakil rakyat tidak boleh, (Kalau) nak ambil kita semua.

"Kita tidak mahu Umno dibubar, kita berkawan boleh tapi bubar masuk mereka (BERSATU) tidak boleh,” katanya sambil memaklumkan sebarang rundingan untuk menyertai BERSATU perlu dibuat dengan pucuk pimpinan Umno dan bukan secara individu.

Nazri yang patut risau, kata Mukhriz

Sementara itu Mukhriz yang ditemui di lobi parlimen berkata tidak ada perkara yang perlu dirisaukan beliau tentang masa depan politiknya.

Sebaliknya, Mukhriz berkata bekas menteri pelancongan itulah yang perlu risau akan masa depannya.

“Buat apa saya nak risau masa depan saya, saya ingat masa depan dia yang lebih merisaukan. Sebabnya, dia di pihak yang kalah dan apa yang dinyatakan (pelawaan )itu memang tak masuk akal.

“Kami ini dah kerajaan, saya dah jadi menteri besar buat apa saya nak sertai pembangkang pula? soalnya kepada Nazri.

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 anggota Parlimen Umno mungkin meninggalkan parti itu dan menyertai BERSATU.

Kadir mendakwa mereka sudah beberapa kali menemui Mahathir dan Muhyiddin serta kepimpinan tertinggi parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.

Lihat Komen
ADS