Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertemuan setiausaha agung BN, PAS sedang diatur

Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau akan berjumpa dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam masa terdekat ini bagi membincangkan pengukuhan kerjasama antara pembangkang.

Kata setiausaha agung BN itu beliau berhubung dengan Takiyuddin untuk memudahkan pertemuan tersebut.

Nazri juga membayangkan pertemuan berkenaan akan berlangsung pada waktu terdekat ini.

"Saya sedang hubungi setiausaha agung PAS dan mungkin (ada pertemuan) esok atau lusa, kita tengok macam mana," katanya ketika ditemui media di lobi parlimen, hari ini.

Untuk rekod Nazri ialah anggota parlimen bagi kawasan Padang Rengas manakala Takiyuddin mewakili Kota Bharu.

Umno dan PAS mengeratkan hubungan kerjasama mereka sebagai pakatan pembangkang sejak berakhirnya pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Usaha itu semakin terbuka apabila pemimpin tertinggi Umno menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu dan dibalas dengan kemunculan pemimpin PAS semasa perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.

MCA nyatakan pendirian

Pada 27 Okt lalu Malaysiakini melaporkan Nazri dilantik sebagai setiausaha agung BN dan diberi tugas untuk bertemu parti-parti politik yang berpotensi menjadi BN.

Pelantikan Nazri itu diumum sendiri oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menghadiri perhimpunan agung MIC di Kuala Lumpur.

Kata Nazri pertemuan dengan PAS itu bukan bertujuan untuk membawa parti terbabit bergabung dengan BN sebaliknya lebih bertujuan mengukuhkan kerjasama sesama pembangkang.

"Saya tak fikir PAS mahu masuk BN pun," katanya.


Baca Wee: Hormati MCA atau kami keluar BN


Nazri berkata Ahmad Zahid memberi pesanan bahawa Umno perlu berbaik-baik dengan parti pembangkang lain, terutama PAS.

Katanya ia selaras dengan hasrat Ahmad Zahid yang menyatakan BN akan distruktur dan dijenamakan semula bagi menguatkan kembali gabungan itu menghadapi PRU ke-15.

Bagaimanapun untuk rekod MCA sudah menyuarakan rasa kurang senang terhadap langkah dilakukan Umno untuk mendekati PAS.

Beberapa anggota parlimen Umno juga meninggalkan parti berkenaan sejak pemimpin mereka semakin memesrai PAS.

Lihat Komen
ADS