Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa sesi pemukiman antara pemimpin Malaysia dan Singapura ke-9 yang dijadualkan pada bulan depan ditangguhkan atas permintaan Malaysia.

"Pada awalnya, Singapura telah bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk mengadakan pemukiman pada akhir November, namun pada 23 Oktober 2018, Kementerian Luar Malaysia telah memaklumkan kami tentang penangguhan pemukimana itu kerana jadual yang ketat di pihak Malaysia.

"Singapura berharap Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk pemukiman seterusnya pada tarikh yang dipersetujui," kata Suruhanjaya Tinggi.

Suruhanjaya Tinggi Singapura mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata beliau tidak tahu bahawa pemukiman itu telah ditangguhkan.

Awalnya, Mahathir dijangkakan akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong di Putrajaya pada bulan hadapan walaupun tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu dijangkakan bertemu semasa Sidang Kemuncak Asean ke 33 di Singapura di antara 11 November ke 15 November.