Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PEMILIHAN PKR | Calon timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali kesal dengan isu kehilangan undi yang terjadi dalam pemilihan parti itu.

Jika masalah berkenaan tidak timbul, katanya, jumlah undi yang diperolehi tentu jauh lebih banyak berbanding apa yang ada sekarang, sekali gus menjauhkan jarak perbezaan dengan pencabarnya Rafizi Ramli.

Dengan pemilihan di Semenanjung Malaysia sudah berakhir, secara rasmi dan hanya tinggal Sabah dan Sarawak yang belum membuat penentuan.

Ketika ini Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berada di depan Rafizi dengan kelebihan 1,659 majoriti undi.

"Di Ampang saja, 1,100 undi hilang. Di cabang saya sendiri (Gombak), 800 undi hilang.

"Cuba bayangkan, jika undi ini dikira, sudah tentu jarak perbezaan undi saya dengan Rafizi ketika ini jauh lebih besar.

"Tapi kita biarkan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) siasat dan putuskan perkara ini," katanya ketika ditemui media pada Sidang Kemuncak Antirasuah 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Azmin beliau berharap proses pemilihan yang berbaki akan dijalankan dengan telus, dan anggota parti dapat turun beramai-ramai untuk mengundi secara aman.

"JPP perlu memastikan semua kemudahan disediakan bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar," katanya.

Untuk rekod selain di Ampang dan Gombak, isu kehilangan undi juga dilaporkan berlaku di Melaka dan Negeri Sembilan.

Cabang yang bermasalah itu akan mengadakan pemilihan sekali lagi pada 11 Nov ini.


 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS