Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan berhenti mencari kesalahan dirinya dan pentadbiran terdahulu, sebaliknya memberi tumpuan untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Dalam video yang disiar secara langsung di Facebook malam ini, Najib membangkitkan beberapa isu termasuk pertumbuhan ekonomi yang didakwa semakin menguncup berbanding di zaman BN, kejatuhan nilai ringgit, pengangguran dan penurunan jumlah kedatangan pelancong.

"Jadi kesimpulannya, saya berharap bahawa kecenderungan kerajaan PH untuk menyalahkan Najib, salahkan kerajaan BN tidak lagi menjadi pendekatan mereka.

"Sepatutnya seluruh perhatian dan tenaga mereka digunakan bagaimana kita boleh menyelamatkan ekonomi negara, bagaimana kita boleh melindungi kepentingan rakyat, bagaimana kita boleh menghadapi persekitaran ekonomi yang lebih mencabar ini.

Dalam video selama 10 minit itu, antara lain Najib berkata sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, rakyat masih belum melihat dengan jelas hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam pengurusan ekonomi.

Katanya, BN berjaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada 2017, manakala kadar pertumbuhan purata dalam tempoh sembilan tahun mencecah 5.254 peratus sepanjang beliau menjadi perdana menteri.

"Namun sejak PH berkuasa semua ramalan dan andaian menunjukkan bahawa trend semakin lemah dan menguncup. Umpamanya pada tahun ini dijangka ekonomi akan berkembang hanya dalam kadar 4.5 peratus. Pada tahun hadapan ia akan menunjukkan trend yang semakin lemah," katanya.

Najib berkata beliau juga bimbang dengan ramalan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa bahawa tahun 2019 akan menjadi tahun yang mencabar kerana ketidaktentuan perdagangan antabarangsa yang akan memberi tekanan ke atas ekonomi negara-negara seperti Malaysia.

Mengenai nilai Ringgit pula, Najib berkata nilai matawang itu semakin jatuh iaitu kini pada paras RM4.14 berbanding 1 dollar Amerika.

Justeru itu katanya, BN akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.

"Kita tidak ada niat melainkan mengetengahkan pandangan dan buah fikiran agar pembangkang yang membina kita boleh melihat amalan demokrasi berparlimen yang sihat di negara Malaysia yang tercinta ini," kata Najib.