Anwar: Msia perlu pemantau antrabangsa bagi pilihanraya
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan pemantau antarabangsa sebagai pemerhati pilihanraya umum bagi mengelak penipuan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan pemantau antarabangsa sebagai pemerhati pilihanraya umum bagi mengelak penipuan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, pemerhati antarabangsa itu datang dari negara-negara Islam dan badan masyarakat antarabangsa seperti yang mereka lakukan dalam pilihanraya Indonesia dan Turki.
Katanya, beliau akan menggunakan pengaruh dan hubungan baik dengan negara berkenaan untuk membolehkan mereka menjadi pemerhati pilihanraya di negara ini.
"Langkah ini perlu kerana terlalu banyak penipuan dalam pilihanraya di negara kita, dari pengundi hantu kepada rasuah dan yang terbaru berlaku di Pengkalan Pasir.
"Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula yang sepatutnya bebas menjadi sebaliknya serta menjadi jentera kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Lumpur malam tadi.
Anwar adalah penasihat parti itu dan isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail adalah Persiden PKR.
Periksa akaun bank
Dalam perkembagan lain, bekas Timbalan Presiden Umno itu berkata, kerajaan boleh memeriksa akaun banknya sama ada di dalam atau di luar negara untuk mengetahui kekayaannya.
"Saya tidak mempunyai wang...saya tidak dapat bekerja di Malaysia, jadi saya bekerja di luar negara. Selain menjadi pensyarah di beberapa universiti di Britain dan Amerika Syarikat, saya menjadi perunding kepada beberapa syarikat Arab di Timur Tengah.
"Wan Azizah juga tidak mempunyai wang kerana pendapatannya hanyalah daripada elaun sebagai Ahli Parlimen," katanya.
Anwar berkata, ada rakan cuba membantu tetapi beliau menolak sebaliknya meminta mereka menyalurkannya kepada parti (PKR).
Menurut Anwar, beliau akan memberi komitmen sepenuhnya kepada PKR mulai Mei tahun depan ke arah merangka persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Kali ini kekuatan pembangkang terutama PKR berbeza sama sekali dengan pilihanraya umum lalu di mana kita kekurangan wang sehingga mencetak poster dan wang cagaran pun amat sukar," katanya.
Berikutan itu kata, Anwar beliau akan berunding dengan pucuk pimpinan PAS dan DAP untuk membentuk barisan pembangkang yang kuat dalam pilihanraya umum akan datang.
Beliau juga mendakwa badan bukan kerajaan sedia untuk membantu pembangkang dalam pilihanraya umum nanti.

